Assalamualaikum wbt...
Pagi ini saya ingin mengulas sedikit coretan atau luahan perasaan daripada seorang insan yang prihatin akan adab dan kesantunan remaja pada zaman sekarang. Insan itu ialah Nisah Haron. Mungkin ramai sudah mengenali beliau jadi saya ingin meneruskan ulasan saya secara ringkas dan padat. Nisah Haron menyatakan dalam status facebooknya bahawa kita sebagai golongan mahasiswa dan mahasiswi perlulah menjaga adab-adab ketika menuntut ilmu. Mungkin pensyarah di universiti tidak sama seperti guru yang berada di alam persekolahan kita dahulu yang tidak lari seperti ibu bapa kita di rumah yang sering menegur apabila kita melakukan kesilapan. Akan tetapi, apabila kita bergelar mahasiswa dan mahasiswi di universiti-universiti awam mahupun swasta, sepatutnya hal demikian tidak berulang lagi kerana rata-rata antara kita sudah cukup matang untuk menilai mana yang lebih beradab,dan mana yang kurang beradab.
Malangnya apa yang dijangka sangat menyedihkan, kerana majoriti antara kita ambil remeh tentang hal yang mungkin dianggap tidak serius sedangkan ia merupakan hal yang besar. Memandangkan semua maklumat boleh diakses pada zaman serba moden dan canggih ini, mahasiswa dan mahasiswi makin ambil mudah tentang perkara seperti adab ketika hendak memulakan sesuatu perkara seperti ingin bertanya kepada pensyarah dalam whatsApp, pesanan ringkas, ingin menghantar tugasan melalui e-mel, dan sebagainya. Guna lah tatabahasa, laras bahasa dan ejaan yang betul ketika hendak menaip sesuatu. Sebaiknya, mulakan sesuatu dengan sapaan yang mesra atau memberi salam jika kita seorang muslim. Tunjukkan keperibadian yang sebenar yang perlu kita lakukan sebagai seorang muslim dan juga sebagai seorang mahasiswa atau mahasiswi. Ingatlah bahawa jika kita mahu orang hormat kita, maka hormatlah mereka dahulu.
What you give, you get back! :)
No comments:
Post a Comment